Monday, 7 December 2015

Sinopsis Novel Tingkatan 3 : 6:20

Sinopsis Novel Tingkatan 3 : 6:20


Novel ini menceritakan tentang Sukma iaitu seorang remaja perempuan yang hidup dalam kemewahan dan sedang menuntut di sebuah universiti awam tempatan. Ayah Sukma merupakan seorang Yang Berhormat di kawasan tersebut. Keganjilan muncul apabila Sukma sering melihat tetamu di hadapan rumah mereka. Tetamu-tetamu yang tidak diundang itu muncul tepat pada pukul 6.20 pagi. Antara tetamu yang sering dilihat oleh Sukma adalah seorang kanak-kanak lelaki, seorang nenek tua dan juga seorang lelaki. Sukma akhirnya dapat bercakap dengan tetamu-tetamu itu, namun apabila ibu sukma melihat, ibunya akan  marah dan secara tiba-tiba tetamu-tetamu itu akan hilang dengan sekelip mata. Sukma juga mempunyai beberapa orang rakan karib antaranya Rafiq, Tija, Jerry dan Reny, serta seorang lelaki yang sering bertengkar dengannya iaitu Iskandar. Mereka semua adalah rakan sekampus dan sekuliah. Sukma mula menyiasat akan kehadiran tetamu-tetamu yang tidak diundang itu. Nenek tua itu pernah memberitahu kepada Sukma, bahawa rumah mereka panas dan hanya Sukma yang boleh menyejukkannya. Kemudian, Sukma mengetahui bahawa rakan karibnya Jerry terlibat dengan aktiviti ruang sepi di dalam kelab WX2. Bukan setakat Jerry malah musuhnya iaitu Iskandar juga terlibat sama.


Sukma mengesyaki bahawa ruang sepi adalah satu fahaman baru yang akan menyesatkan anak-anak muda seperti mereka. Oleh itu, Sukma menyiasat aktiviti yang dipanggil ruang sepi. Hal ini kerana Sukma ingin membantu rakannya Jerry keluar daripada kumpulan itu. Kemudian satu persatu rahsia terbongkar hasil penyiasatan Sukma. Akhirnya, Sukma dapat bertemu dengan budak lelaki yang sering kali ke rumahnya dan juga dapat bertemu dengan nenek tua tersebut. Sebenarnya nenek tua itu merupakan nenek kepada  budak lelaki itu atau namanya iaitu Aim. Kemudian Sukma diberitahu bahawa ibunya terlibat dengan aktiviti ruang sepi itu. Perubahan ibunya dapat dilihat oleh Sukma apabila ibunya terlalu percayakan perkara-perkara karut dan selama itulah mereka berdua kurang berkomunikasi kerana tidak sehaluan.  Akhirnya, dengan bantuan rakan-rakannya termasuk Iskandar yang telah insaf dan ingin berubah, mereka dapat menyelesaikan kes ini. Pihak polis juga turut membantu terutama sekali Kak Ros yang juga rapat dengan Sukma. Kesemua ahli-ahli ruang sepi dapat ditangkap termasuk ibunya. Namun ibunya terlantar di hospital dan sedang koma disebabkan terkena tembakan dan terjatuh daripada tingkat lima bangunan operasi mereka. Akhirnya Sukma merupakan saksi utama dalam kes Kelab WX2 dan ruang sepi dan mengetahui bahawa ibunya merupakan pengintip polis yang telah menyamar menjadi ahli kelab WX2.

No comments:

Post a Comment